BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, November 2, 2011

7 Amalan dan Kelebihan Bulan Zulhijjah

Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 1-3 maksudnya: “Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah dan bilangan yang genap serta yang ganjil.

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan Zulhijjah, manakala yang ganjil ialah hari Arafah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SWT akan hamba-Nya daripada neraka lebih daripada hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi ketika mentafsirkan ayat ketiga dari surah al-Buruj yang bermaksud: “Yang menyaksikan ialah hari Arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Banyak hadis yang menceritakan mengenai kelebihan bulan Zulhijjah dalam amalam Islam ini antaranya, daripada Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar bahawa Baginda SAW bersabda: “Tiada satu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban menyatakan di dalam kitab Sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seutama-utama hari adalah hari Arafah.

Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini, umat Islam dianjur melakukan pelbagai amalan antaranya:

Pertama: Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan.

Kedua: berpuasa pada hari berkenaan atau sekadar kemampuan terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Puasa pada hari Arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun lalu dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim)

Ketiga: Memperbanyakkan takbir dan berzikir. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai dengan lafaz ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa Lillahil Hamdu.

Keempat: Bertaubat dengan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba daripada rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

Kelima: Memperbanyakkan amalan salih terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya digandakan pada hari berkenaan.

Keenam: Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat haji, disunatkan bertakbir bermula dari waktu Subuh hari raya dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijjah.

Ketujuh: Disyariatkan amalan korban iaitu menyembelih haiwan ternakan pada hari raya haji dan hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah amalan nabi Allah Ibrahim AS setelah Allah SWT mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Amalan paling agung pada bulan mulia ini ialah menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Perjalanan rohani ini merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat yang ditentukan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 97 maksudnya: “Di situ ada tanda keterangan nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.

Orang yang menunaikan fardu haji merupakan tetamu Allah SWT. Mereka berkorban harta, tenaga dan masa demi menunaikan perintah Allah. Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadat haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran haji mabrur.

Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT, ia merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi oleh sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah haji tersebut.

Tok Guru & nasi bungkus RM2.50

Assalamualaikum W.B.T.






Mohd Rashidi Hassan
"ANTA dah makan," tegur Tok Guru kepada tatkala melihat kelibat penulis memasuki bilik jamuan. "Alhamdulillah, sudah Tok Guru," jawab penulis sambil mengangguk.

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat terus membuka bekas polystyrene yang berada di hadapannya. Bekas tersebut diikat dengan getah plastik. Di dalamnya ada nasi putih, seketul ayam, sebungkus kuah gulai dan sebungkus cili.

Tiada makanan ala buffet. Tiada air sirap, tiada teh dihidangkan. Yang ada hanya air mineral dan nasi bungkus.

Itulah jamuan untuk VIP PAS selepas Menteri Besar Kelantan itu merasmikan Persidangan ICT PAS di Taman Melewar, 22 Oktober lepas. Tok Guru Nik Aziz menjamu selera di bilik khas bersama Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dr Mohd Fadzli Hassan, Che Abdullah Nawi, Setiausaha Politik, Wan Nik Wan Yussof, Pengerusi Lujnah ICT PAS, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Pengarah Urusetia Penerangan Kedah, Zulkifli Yahya dan Pensyarah Unisel, Profesor Dr Azmudden Ibrahim.

Tok Guru dan para VIP kelihatan berselera sekali menjamah hidangan. Mereka menjamu selera dan berbual dengan nada yang amat santai.

Begitu pun, akhlak Tok Guru tetap terpelihara. Beliau mencarik-carikan isi ayam sedikit demi sedikit, dengan tangan kirinya menahan tulang ayam. Selepas secubit ayam dijamah, beliau menuangkan kuah gulai sedikit-demi sedikit, untuk dimakan dengan nasi. Begitulah selang-seli hidangan dimakan hingga habis.

Berbeza dengan kita. Kalau kita yang makan, kita akan ambil seketul-seketul ayam dan koyakkan dengan gigi sahaja. Biasa kalau kuah gulai tu, kita akan tuang sampai banjir dalam pinggan.

Sambil-sambil mereka makan, penulis memerhatikan tingkah laku mereka. Para VIP PAS, khususnya Tok Guru, tidak pernah merungut, walaupun pada pengamatan penulis, nilai sebungkus nasi dan air untuk hidangan VIP, tidak sampai RM2.50. Itulah juga hidangan yang disajikan kepada seluruh peserta hidangan. Sama sekali tiada beza.

Pada penulis soal harga tidak menjadi persoalan. Bukan soal mahal atau murahnya sesuatu hidangan. Tok Guru tidak pernah melarang sesiapa pun untuk menjamu selera dengan hidangan yang lazat-lazat. Asalkan mereka mampu dan tidak membazir.

Tok Guru juga tidak pernah menolak jika dijemput menjamu selera hidangan yang mahal dan mewah. Tok Guru biasa menghadiri majlis bersama Raja-Raja dan VVIP terkemuka. Moralnya, sama ada makan cara mewah atau makan cara marhain, adalah sesuatu yang lumrah, yang tidak perlu ditunjuk-tunjukkan.

Tetapi Tok Guru tetap Tok Guru. Sifat tawaduknya bukan dibuat-buat. Dah memang semula jadi sifat Tok Guru begitu. Hidangan yang simple dan murah. Makan digerai bersama rakyat kebanyakan sudah biasa baginya. Tidak perlu dihighlight dalam media, tidak perlu diheboh kepada satu dunia.

Bukan macam Perdana Menteri 1Malaysia kita. Pada penulis, elok juga ditegur Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Kalau dah sifatnya bangsawan, hidup sentiasa dalam kantung emas, usah nak berlakon seolah-olah berasal dari gubuk yang buruk.

Kalau asal kehidupannya sejak dilahirkan dah standard, kehidupan sedia mewah, tiada salahnya. Teruskan sajalah, tidak perlu hendak dibuat-buat.

Lebih baik Najib jadi dirinya sendiri. Usah jadi macam artis yang boleh melakonkan apa sahaja watak. Berlakon jadi tok guru membaca tazkirah pun boleh, berlakon jadi kasanova sambil meneguk 'air kencing syaitan' di kelab malam pun boleh.

Pengampu-pengampu Najib pun satu hal. Tak usahlah nak malukan PM kita, kononnya PM berjiwa rakyat, sanggup makan nasi sepinggan RM4.00, kononnya Restoran 1Malaysia, begitu hebat menawarkan hidangan yang murah untuk rakyat.

Dalam sekelip mata rakyat dapat membuktikan, harga makanan yang dimakan Najib, seperti yang dihebohkan tok-tok dalang media pencacai bukannya RM4.00 tapi RM6.00 sepinggan.

Minggu lepas, semasa lawatannya ke Restoran Ukhwah, di Kuala Lumpur yang dikatakan menawarkan Menu Rakyat, Najib menjamah sepinggan nasi, dua ketul ayam, sepotong daging goreng, tauge, dan poppadom. Diriuhkan 1Malaysia bahawa harga sepinggan hidangan Najib itu RM4.00, malah ada media pengampu cuba hendak murahkan lagi dengan harga RM3.50.

Tembelang dan pembohongan Umno-BN terbongkar, dibuktikan apabila staf Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dihantar ke Restoran Ukhwah, mengambil lauk yang sama dengan Najib, dicaj dengan harga RM6.00.

Apabila didedahkan dalam media, Menteri Pengguna, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob terkial-kial mempertahankan Menu Rakyat 1Malaysia, selepas promosinya untuk menaik dan mengampu Najib, jadi backfire kepada Umno-BN.

"Ketika itu ada beberapa lauk seperti ayam masak merah, ayam masak kicap dan daging, jadi PM hendak rasa kualiti lauk tersebut.

"Secara asasnya menu nasi putih, sejenis lauk dan segelas air memang RM4.00, malah ada yang lebih murah. Apabila kita ambil lebih daripada apa yang ditawarkan dalam menu, maka kita perlulah bayar lebih," kata beliau memberi alasan.

Namun, Ismail tidak mampu menjawab mengapa Najib hanya membayar RM4.00 untuk hidangan berkenaan. Kalau dah tau harganya memang bukan RM4.00, buat apa Ismail Sabri nak biarkan media pengampu membohongi rakyat? Ataupun Ismail Sabri memang kaki kelentong, sehingga memalukan bosnya sendiri.

Itulah hebat Umno-BN ini, punya lah nak menunjukkan pemimpin yang berjiwa rakyat, sampai menggunakan cara yang paling bodoh dan memalukan.

Nanti orang akan balas balik pada Najib, nanti rakyat akan kata, buat apa hendak menunjuk-nunjuk makan nasi RM4.00 sepinggan, sedangkan perbelanjaan mewah PM, isteri dan keluarga menelan belanja berjutajuta ringgit?

Macam mana Najib hendak jawab, pengubahsuaian rumah mewah Seri Perdana yang menelan kos berpuluh juta wang rakyat, dibandingkan ubahsuai rumah Tok Guru hanyalah beratap zink dan berdinding separuh kayu?

Apa Najib hendak beri alasan, jika rakyat mempersoalkan harga beg-beg tangan Rosmah, pelbagai fesyen, pelbagai jenama mewah, sehingga menelan belanja jutaan ringgit?

Apakah tidak dinamakan mewah, berbelanja jutaan ringgit untuk majlis pertunangan anak di Kazakhztan? Duduk di hotel mewah di Dubai dengan harga mencecah RM100 ribu satu malam? Bercuti dengan menggunakan perbelanjaan kerajaan di Perth?

Jika anda memang jenis hidup mewah dan membazir, usahlah berlakon kononnya susah macam rakyat kebanyakan, kononnya menjiwai perasaan dan kehidupan rakyat miskin.

Sedar dirilah, usahlah Najib berlakon hendak jadi tawaduk macam Tok Guru. Usah jadi bahan gelak ketawa rakyat. Rakyat pun dah muak dengan lakonan tidak menjadi ini.

To Najib, please be yourself